Alhamdulillah 'ala kulli hal, nikmat Allah melimpah-ruah buat hamba-hambaNya, walau kadang-kadang kita di uji dengan dugaan yang dirasakan terlalu berat, ingatlah Allah sentiasa di sisi kita. DIA Maha Memahami dan Mengetahui setiap gerak geri hamba-hambaNya. Walau kadang-kadang sudah tidak mampu lagi untuk bertahan, namun kita tiada pilihan lain melainkan bersabar dan tetap berada di jalan Allah kerana ujian hanyalah sementara, perit dan getir itu cuma seketika.
Hidup memang di sediakan Allah dengan nikmat yang sangat banyak. Hidup juga di sediakan oleh Allah dengan ujian-ujian yang mendambakan kesabaran makhluk-makhlukNya. Ujian yang datang itu penuh variasi kerana itu lah Kesempurnaan Allah. Seringkali kita boleh bertahan dengan ujian, menjadi orang yang sabar dan tabah mengharungi liku-liku kehidupan dan perjuangan. Seringkali juga kita tidak mampu untuk melangkah dan meneruskan kehidupan, namun masih juga mampu untuk bersabar untuk bertahan dengan ujian yang datang. Namun, sering juga kita kepenatan sehinggakan tahap kesabaran kita sudah menjadi sifar dan sudah tidak mampu lagi bertahan, dan kita menjadi hamba yang mengeluh dan merintih.
Sahabat, Allah sangat menyayangi hamba-hambaNya yang sabar. Ada kalanya kita diuji namun kita masih boleh tersenyum. Alhamdulillah, Allah masih mengurniakan kesabaran kepaa kita. Ada kalanya kita diuji lalu kita menangisinya. Tangisan bukan bererti tidak sabar, selagi kita sedar Allah menguji kita, selagi kita tidak bersangka buruk dengan Allah, Alhamdulillah Allah masih meletakkan kesabaran dalam diri kita.
Sahabat, Rasulullah s.a.w menyayangi umat-umatnya yang sabar. Diceritakan suatu kisah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :
Suatu ketika, dengan tiba-tiba ada seorang lelaki datang memaki dan menghina Abu Bakar. Pada ketika itu Rasulullah sedang duduk tidak jauh dari tempat Abu Bakar. Baginda melihat dengan hairan dan tersenyum dengan sikap Abu Bakar yang tidak membalasnya. Kemudian apabila lelaki itu memaki di luar batas dan sangat menyakitkan, Abu Bakar terpancing untuk membalas dan menjawab seperlunya. Pada ketika itulah Rasulullah langsung pergi meninggalkan mereka. Maka apabila melihat Rasulullah pergi, Abu Bakar segera mengikuti Rasulullah.
Abu Bakar berkata, "Ya Rasulullah, lelaki itu telah memaki aku sedang engkau tetap sahaja duduk. Namun ketika aku membalas sebahagian perkataannya engkau langsung pergi."
Rasulullah menjelaskan kepada Abu Bakar, "Sebenarnya, pada waktu itu sudah ada malaikat yang membalasnya. Apabila engkau membalas dengan caciannya, maka syaitan pun hadir. Dengarlah wahai Abu Bakar, ada 3 perkara yang seluruhnya benar.
1. Tidak ada seorang hamba yang dianiaya, lalu ia memaafkan kerana Allah, melainkan Allah akan memuliakan dengan pertolonganNya.
2. Tidak ada seorang lelaki pun yang membuka pintu pemberian dengan maksud untuk memelihara hubungan, melainkan Allah akan menambahkan pemberian itu hingga berlipat ganda."
3.Tidak ada seorang lelaki yang meminta-minta dengan maksud memperbanyakkan hartanya, melainkan Allah akan menguranginya.
(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar